Kesan Perubahan Iklim Terhadap Komuniti Orang Asli

Kesan Perubahan Iklim Terhadap Komuniti Orang Asli di Gua Musang

Bengkel Adaptasi Perubahan Iklim merupakan siri program fasa pertama di bawah Projek Aksi Komuniti Orang Asli Temiar Kearah Adaptasi Perubahan Iklim yang bermula seawal tahun 2024 sehingga 2026. Bengkel ini, telah diadakan pada tarikh 5 hingga 7 Julai 2024 yang melibatkan wakil peserta dari 13 wilayah yang terletak di Gua Musang. Seramai 40 individu telah menghadiri bengkel yang bertempat di Kesedar Inn Hotel, Gua Musang.

Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman komuniti Orang Asli Temiar mengenai kesan perubahan iklim serta membina strategi komuniti agar lebih berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim. Selain itu, bengkel ini memfokuskan usaha ke arah pemberdayaan komuniti bagi menghadapi implikasi perubahan cuaca ekstrem yang menjejaskan keterjaminan makanan, akses air bersih, kesihatan dan risiko terdedah kepada bencana alam serta konflik hidupan liar yang telah mengorbankan nyawa.

Projek ini telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai organisasi berpengalaman dalam bidang ini merangkumi Klima Action Malaysia (KAMY), MERCY Malaysia dan Diri Bumi Ecological Society. Gabungan idea, pengalaman, dan kemahiran mereka akan digunakan untuk advokasi dasar dan polisi kerajaan dalam membentuk pelan Community Based Action (CBA) bagi menghadapi kesan perubahan iklim.

KESAN PERUBAHAN IKLIM TERHADAP KOMUNITI (MAKLUM BALAS PESERTA)

Maklum balas ini diperoleh melalui pembahagian kepada 7 kumpulan semasa sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Setiap kumpulan dibahagikan secara sama rata dan mereka perlu berbincang serta membentangkan tajuk “Mengenalpasti Masalah dalam Komuniti Berkaitan Perubahan Iklim”. Maklum balas yang dikumpulkan diringkaskan seperti berikut:

Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Jenis tanaman : Padi, cili, ubi kayu, pisang, jagung, tebu, nenas, durian dan sayur sayuran.

Masalah :

  • Serangan haiwan liar seperti gajah, babi hutan, beruk, harimau, beruang dan burung heng yang berlaku di Pos Hau dan Pos Gob memusnahkan tanaman.
  • Tiada bekalan air yang mencukupi untuk pertanian kerana sungai menjadi kering dan kawasan tadahan rosak atau tercemar disebabkan aktiviti pembalakan dan perlombongan emas.
  • Benih tanaman seperti jagung, padi, terung, sekoi, labu dan kacang rosak akibat musim kemarau dan jangka hayat benih kurang daripada setahun. Penduduk terpaksa membeli benih baru dari kampung-kampung sekitar untuk keperluan sumber makanan (masalah dihadapi oleh semua wilayah).
  • Komuniti mula kurang berminat dengan aktiviti pertanian kerana kerugian yang tinggi. Penduduk juga mula fokus penanaman ubi kayu yang lebih mudah, namun musim panas melampau mengakibatkan ubi kayu rosak semasa masih di dalam tanah.
  • Kawasan penanaman semakin mengecil disebabkan aktiviti pembalakan dan kualiti atau kesuburan tanah untuk pembukaan kebun terjejas.

KESAN PERUBAHAN IKLIM TERHADAP KOMUNITI ( Pertanian dan Keterjaminan Makanan )

Sumber Air Bersih

Punca Air : Boring (air bawah tanah), air sungai, air yang dirawat dan tandak air.

Lokasi terjejas air bersih : RPS Kuala Betis, Angkek dan Kampung Kaloy

Punca Masalah

  • Pembalakan dan penerokaan hutan
  • Perlombongan Bijih & Emas
  • Perladangan skala besar
  • Perlepasan sisa kilang ke sungai
  • Kemasukan orang luar

Masalah :

  • Hakisan dan mendapan tanah mudah berlaku yang menyebabkan bencana alam seperti banjir lebih buruk kesannya
  • Sisa buangan dari kilang serta baja dan racun dari sektor perladangan telah menyebabkan sumber air dan tanah tercemar. Penduduk terpaksa berjalan jauh untuk dapatkan sumber air bersih. Di hulu Kg. Angkek pernah berlaku kes kematian disebabkan tandak air dicemari racun dan telah diminum oleh penduduk.
  • Air menjadi kering ketika musim kemarau sehingga menyukarkan penduduk mendapatkan bekalan air bersih.
  • Sumber air terawat gagal disaring dengan baik oleh pihak kesihatan dan kerap tersumbat dengan pasir dan bahan buangan lain.
  • Kesihatan penduduk terjejas seperti masalah penyakit kulit dan keracunan.
  • Sumber hidupan akuatik untuk makanan berkurang seperti ikan dan katak yang turut mempengaruhi rantaian makanan yang lain seperti burung.

Bencana Alam dan Kesediaan Kecemasan

Kampung terjejas : Kampung Tohoi, Angkek, Setawar, Berchap, Jias, Langsat, Depak, dan Pulat.

Kronologi bencana alam di Gua Musang:

Banjir besar 2004

Banjir besar berlaku di Pos Pasit yang mengakibatkan 22 buah rumah disapu deras air dan 400 mangsa terlibat. 2 individu meninggal dunia disebabkan sakit ketika bencana berlaku

Kemarau panjang 2006

Kemarau teruk menyebabkan hasil tanaman mati kekeringan dan serangan haiwan perosak. Penduduk menghadapi pelbagai penyakit disebabkan fenomena ini termasuk cirit-birit, demam campak dan demam panas sehingga 4 individu mati disebabkan masalah kelaparan.

Laporan ini telah disediakan oleh : KUASA PERSATUAN AKTIVIS SAHABAT ALAM

Infografik disediakan oleh : LAr. Ts. Amirah Kezuwani

Source : https://www.instagram.com/p/C-xZkHhyAgj/?igsh=MTJ4ajcyZTl2dHFicg==

×

Hello!

Click to chat on WhatsApp

×